KUALA LUMPUR - Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Hulu Langat, Mohamad Shafiq Abdul Halim mempersoalkan tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengenakan tawaran kompaun berjumlah RM10,000 terhadapnya berhubung hantaran di media sosial berkaitan isu Menara Kuala Lumpur 31 Mac lalu.
Menurut Shafiq, beliau terkejut apabila menerima notis tersebut dan mendakwa kenyataan media MCMC yang dikeluarkan dua hari selepas itu berbeza daripada butiran yang terkandung dalam surat kompaun yang diterimanya.
Dakwanya, tindakan MCMC dilihat sebagai usaha untuk menyekat suara kritikan terhadap kerajaan dan bukan berasaskan peruntukan undang-undang secara jelas.
“Saya lihat tindakan ini hanyalah untuk mengongkong suara-suara yang mengkritik Kerajaan Madani. Dalam notis itu hanya menyebut saya telah melanggar Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 menerusi aplikasi TikTok, tanpa penjelasan lanjut mengenai kandungan komunikasi yang dimaksudkan,” ujarnya ditemui pemberita dalam satu sidang media di ibu negara pada Ahad.
Terdahulu, MCMC mengenakan kompaun berjumlah RM10,000 terhadap Ketua Penerangan Bersatu Bahagian Hulu Langat itu susulan tindakannya memuat naik kandungan jelik melampau membabitkan sentimen kaum dan agama berkaitan isu pekerja Menara KL di aplikasi TikTok, 31 Mac lalu.
**media[3120595]**
Shafiq bagaimanapun menegaskan, beliau tidak pernah menuduh mana-mana pihak, sebaliknya hanya menggesa siasatan dijalankan dan menyampaikan kebimbangan rakyat.
“Dalam siaran tersebut saya menyebut ‘saya tidak tuduh sesiapa bersalah tetapi rakyat perlu tahu’,” ujarnya lagi.
Shafiq turut menjelaskan kenyataan beliau dibuat berasaskan Dasar Keselamatan Ekuiti Bumiputera (ESN) dan beliau telah menyerahkan beberapa dokumen rujukan kepada pihak MCMC.
Tambahnya, tiada rampasan atau sitaan dilakukan terhadap barangan peribadi miliknya seperti telefon atau kad SIM.
Mengenai insiden di Menara Kuala Lumpur, beliau memaklumkan pekerja Menara KL yang bertugas pada malam 31 Mac adalah di bawah seliaan Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (MKLSB) yang masih sah ketika itu.
**media[3120594]**
Pada Sabtu, MKLSB melalui Pengarah Urusannya, Datuk Abdul Hamid Shaik, turut mengeluarkan kenyataan rasmi bahawa tiada laporan dibuat terhadap Shafiq dan mengesahkan apa yang dinyatakan oleh beliau adalah benar.
MKLSB juga dilapor telah memfailkan tindakan undang-undang terhadap kerajaan dan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.
Mengulas lanjut, Shafiq berkata, beliau akan mengumpul bahan bukti untuk mengemukakan laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan penganugerahan konsesi Menara KL.
“Saya melihat tindakan ini cubaan untuk menutup salah laku dalam urusan konsesi dan menyerang reputasi saya. Kami juga akan terus memperjuangkan nasib MKLSB yang mendakwa dianiaya oleh kerajaan,” katanya.
Shafiq turut merakamkan penghargaan kepada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin atas sokongan yang diberikan termasuk tawaran bantuan guaman daripada parti dan pihak MKLSB.